Air merupakan keperluan paling asas manusia. Ia menjadi
tanggungjawab pengguna bagi memastikan air yang keluar dari paip di rumah
adalah bersih dan selamat sebelum menggunakannya. Masalah air yang keluar dari
paip di rumah boleh dikenal pasti melalui perubahan warna, rasa dan baunya.
Sekiranya terdapat perubahan ciri-ciri ini pada air di rumah, langkah pertama
yang pengguna perlu lakukan adalah dengan mengenal pasti sama ada ia berpunca
dari paip dan tangki di rumah atau dari paip pihak utiliti. Salah satu cara
ialah dengan bertanya kepada jiran-jiran rumah sekiranya mereka mempunyai
masalah yang sama. Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi pihak utiliti
air bagi mendapatkan kepastian.
Air yang berwarna
Sekiranya air yang keluar dari paip rumah berubah warna, ia
menunjukkan bahawa kemungkinan terdapat ancaman kesihatan awam. Perkara ini
terjadi berkemungkinan berpunca apabila sistem saluran air terganggu sehingga
menyebabkan air yang tidak selamat termasuk ke dalam sistem saluran tersebut.
Hijau dan biru:
Kehadiran tembaga Air yang berwarna kehijauan atau kebiruan
menunjukkan kehadiran tembaga di dalam air tersebut. Dari segi rasa pula, air
akan mempunyai rasa seperti logam atau besi. Sistem paip di rumah terdiri
daripada komponen paip tembaga dan paip aloi. Lama-kelamaan paip-paip tembaga
ini akan terhakis dan hakisan tembaga ini akan memasuki ke dalam saliran air.
Tahap tembaga yang rendah di dalam air adalah sangat penting bagi menjamin
keselamatan dan kesihatan pengguna. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tahap
maksimum tembaga yang dibenarkan di dalam air minuman ialah 2 mg/L. Air yang
mempunyai kandungan tembaga 3 mg/L hingga 5 mg/L boleh menyebabkan loya, sakit
perut, dan cirit-birit. Pendedahan berpanjangan terhadap kandungan tembaga yang
tinggi pula akan menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.
Bagaimana pengguna dapat mengenal pasti kandungan tembaga
dalam air?
• Buka paip dan biarkan air mengalir ke dalam bekas
• Kumpulkan air di dalam bekas tersebut sebanyak 2 hingga 3
liter dan biarkan ia selama beberapa saat.
• Sekiranya air kelihatan berwarna warna hijau atau biru,
atau terdapat zarah kecil berwarna hijau atau biru, air tersebut mengandungi
paras tembaga hampir atau melebihi 2 mg/L.
Keruh dan putih susu:
Kehadiran gelembung udara Air yang keruh berwarna putih susu
biasanya disebabkan kehadiran gelembung udara yang tidak berbahaya. Sekiranya
air keruh berwarna putih susu, sediakan gelas jernih dan isikan gelas tersebut
dengan air paip dan biarkan selama beberapa saat. Sekiranya air berubah menjadi
jernih di bahagian bawah gelas tersebut, ini bermaksud warna tersebut adalah
disebabkan oleh kehadiran gelembung udara di dalam air. Gelembung udara boleh
terhasil melalui beberapa cara. Antaranya, apabila membuka paip dengan tekanan
yang besar secara tiba-tiba. Selain itu, banyak pili juga telah dilengkapi
dengan pengudara, yang menghasilkan gelembung udara di dalam air bagi
mengurangkan percikan dan memastikan kelajuan air seragam.
Hitam atau coklat gelap:
Kehadiran mangan Punca air paip berwarna hitam atau coklat
gelap adalah disebabkan kandungan mangan di dalam air atau sedimen paip.
Coklat, merah, jingga atau kuning:
Disebabkan oleh paip besi yang karat. Secara kesimpulannya,
warna adalah merupakan parameter asas yang boleh menjadi petunjuk utama kepada
pengguna dalam mengenal pasti tahap kualiti air di kediaman mereka.
Sumber: Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia
No comments:
Write coment�rios